SAKHIR, 26 FEB – Lewis Hamilton memulakan ujian pra-musim Formula 1 bersama Ferrari sebagai langkah seterusnya dalam usaha meraih gelaran juara dunia F1 yang kelapan bersama pasukan baharunya.
Pemandu British berusia 40 tahun itu meninggalkan Mercedes untuk menyertai Ferrari musim ini selepas menghabiskan 12 tahun dan meraih enam daripada tujuh gelaran dunianya bersama Silver Arrows.
Setelah Hamilton keluar dari garaj hari ini dengan kereta merah No. 44 di litar Bahrain, media sosial F1 memuat naik mesej, “Lewis Hamilton. Pemandu Ferrari” diikuti dengan emoji hati. Hamilton menyertai pasukan tersebut bulan lalu dan akan berlumba bersama Charles Leclerc, yang telah bersama Ferrari sejak 2019, pada musim 2025.
Setiap pasukan dibenarkan hanya satu kereta di atas litar semasa ujian pra-musim dan sesi pagi hari ini menyaksikan Hamilton bersama Andrea Kimi Antonelli, pemandu baharu Itali berusia 18 tahun yang mengambil alih kedudukannya di Mercedes.
Antara pemandu lain yang berada di atas litar adalah Liam Lawson, yang akan menjadi rakan sepasukan juara Max Verstappen di Red Bull musim ini, pemandu McLaren Oscar Piastri dan juara dua kali Fernando Alonso dari Aston Martin. – AP
