Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hamilton, Russel lanjut kontrak Mercedes

    MONZA, ITALI, 31 OGOS – Lewis Hamilton dan George Russell memperbaharui kontrak mereka dengan Mercedes sehingga 2025, umum pasukan Formula Satu itu hari ini.

    Silver Arrows mengesahkan bahawa pasangan itu akan terus memandu bersama dalam dua musim akan datang menjelang Grand Prix Itali hujung minggu ini.

    Hamilton kini menduduki tempat keempat dalam kedudukan pemandu, 183 mata di belakang pendahulu dan penyandang juara Max Verstappen yang sedang memburu kemenangan GP ke-10 berturut-turut di Monza.

    “Kami sentiasa dahagakan kemenangan. Kami telah belajar daripada setiap kejayaan tetapi juga setiap kemunduran… kami terus berjuang tidak kira cabaran dan kami akan menang sekali lagi,” kata Hamilton dalam satu kenyataan.

    “Saya berterima kasih kepada pasukan yang telah menyokong saya di dalam mahupun di luar trek. Kisah kami belum selesai, kami berazam untuk mencapai lebih banyak lagi bersama dan kami tidak akan berhenti sehingga kami berjaya.”

    Juara dunia tujuh kali Hamilton akan melanjutkan karier F1nya melangkaui hari lahirnya yang ke-40 bersama Mercedes, di mana dia memenangi enam gelaran antara 2014 dan 2020.

    Pemandu berusia 38 tahun itu dilaporkan dijangka memperoleh sekitar £50 juta (AS$63.4 juta) semusim bersama Mercedes selepas memperbaharui kontrak yang akan tamat pada akhir kempen semasa.

    Pengumuman Mercedes itu menamatkan spekulasi mengenai masa depan Hamilton ketika mereka bergelut untuk bersaing dengan Red Bull yang memenangi setiap GP setakat musim ini. – AFP

    Lewis Hamilton memandu keretanya semasa sesi latihan di litar lumba Zandvoort di Zandvoort, Belanda pada 25 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda