NURBURGRING, JERMAN, 12 OKT – Lewis Hamilton mengawal emosinya semalam ketika dia berjaya menyamakan rekod Michael Schumacher dengan 91 kemenangan di F1 di Grand Prix Eifel.
Setelah melengkapkan kemenangan ketujuh musim ini, Hamilton terkejut disambut Mick Schumacher, anak kepada juara tujuh kali Schumacher. Mick menghadiahkan topi keledar merah dari koleksi ayahnya kepada Hamilton.
“Tahniah atas pencapaian yang luar biasa,” kata Schumacher, bintang yang sedang meningkat naik dan memimpin siri F2.
Namun Hamilton hanya mampu mengatakan “Terima kasih banyak.
“Ini suatu penghormatan. Saya tidak tahu harus berkata apa. Ketika anda membesar menyaksikan seseorang dan mengidolakan mereka,” jelas Hamilton.
“Melihat penguasaannya sejak sekian lama, saya rasa saya tidak dapat membayangkan saya akan berada di sini, jadi itu suatu penghormatan yang luar biasa.
“Ketika saya masuk ke lorong pit, ketika itu saya baharu menyedari saya telah menyamakan rekodnya.
“Saya tidak menghitungnya ketika saya melintasi garisan penamat dan saya tidak dapat melakukan ini tanpa pasukan luar biasa ini. Jadi, terima kasih banyak dan rasa hormat yang besar kepada Michael.”
Ketua Mercedes, Toto Wolff mengatakan bahawa dia masih percaya bahawa Schumacher adalah di atas segalanya tetapi menyifatkan pencapaian Hamilton sebagai sesuatu yang menakjubkan.
“Tidak percaya bahawa Lewis meraih 91 kemenangan itu,” kata Wolff. “Lewis masih dalam perjalanannya, tapi mungkin sekarang ada seseorang di taska atau sekolah yang suatu hari nanti akan mencapai rekod Lewis juga dan begitulah seterusnya.”
Di litar di mana Schumacher, memenangi lima kali, Hamilton 4.5 saat berada di hadapan Max Verstappen dari Red Bull yang berada di tempat kedua. Manakala Daniel Ricciardo berada di tempat ketiga untuk Renault. – AFP