Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hamilton tawan GP Hungary

    HUNGARORING, HUNGARY, 5 OGOS – Lewis Hamilton kembali mendapat momentum dalam mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan pemandu dengan kemenangan ke atas pesaing muda Max Verstappen di Grand Prix Hungary.

    Juara bertahan lima kali berusia 34 tahun itu bermula dari petak ketiga dengan jentera Mercedesnya dan selepas mengekori rapat pemandu 21 tahun dari Belanda itu, akhirnya dia mendahului perlumbaan pada pusingan ke-67 daripada 70 keseluruhan.

    Hamilton mencatatkan rekod tujuh kemenangan di Hungary dan ke-81 kariernya, sekali gus memusnahkan harapan Red Bull untuk menyaksikan Verstappen memenangi perlumbaan selepas meraih petak utama. Verstappen yang mendahului perlumbaan sebelum tayarnya botak, ketinggalan 17.796 saat di belakang Hamilton dan turut mencatatkan rekod pusingan terpantas di litar berkenaan selepas melakukan hentian pit di peng-hujung perlumbaan.

    Juara empat kali Sebastian Vettel dari Ferrari di tempat ketiga, diikuti rakan sepasukannya Charles Leclerc, Carlos Sainz dari McLaren dan pemandu Red Bull Pierre Gasly.

    “Pemanduan hebat, strategi menjadi,” kata jurutera perlumbaan Hamilton, Peter Bonnington. ” Hanya anda yang mampu melaksanakannya hari ini.”

    Mercedes menyamai strategi Red Bull dari awal sehingga mengambil risiko dengan hentian pit tambahan yang menyaksikan Hamilton perlu mengejar jurang 20 saat dalam 20 pusingan dengan tayar baharunya, tindakan yang menyebabkan Verstappen merungut kepada pasukannya sebelum dipintas akibat tayar botak. – AFP

    Hamilton mengucup trofi kemenangannya selepas berjaya memenangi Grand Prix Formula Satu Hungary di litar perlumbaan Hungaroring di Mogyorod, Budapest pada 4 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda