Hamilton tekad perangi stigma perkauman

LONDON, 21 JUN – Juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton melancarkan badan diversitinya sendiri untuk menarik lebih ramai remaja berkulit hitam menyertai perlumbaan motor.

Jelasnya dia akan bekerjasama dengan Akademi Kejuruteraan Diraja Britain untuk melancarkan projeknya itu untuk membantu menjadikan perlumbaan bermotor ‘seperti satu dunia sukan dengan kepelbagaian budaya’.

“Saya telah memerangi stigma perkauman sepanjang karier perlumbaan saya – dari kanak-kanak melemparkan benda kepada saya ketika saya beraksi, hingga diejek oleh peminat pada Grand Prix 2007, salah satu perlumbaan Formula Satu pertama saya,” kata Hamilton, 35, dalam artikel The Sunday Times.

“Walaupun saya berjaya dalam sukan ini, halangan untuk menjadikan F1 sangat eksklusif tetap ada.

Kerjasama penyelidikan ini diharap mendorong golongan muda berkulit hitam untuk belajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik,” jelasnya.

Hamilton juga berharap ia akan membuka jalan bagi mereka untuk meningkatkan jumlah minoriti yang diwakili dalam Formula Satu.

“Saya berharap bahawa rancangan seumpama ini akan membawa dunia kita kepada perubahan yang lebih baik. – AFP

Reaksi Hamilton ketika meraikan kejayaan di podium selepas memenangi perlumbaan di Litar Francorchamps, Spa. – AFP