BARCELONA, 30 JAN – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, terlibat dalam kemalangan pada hari kedua ujian pemanduan tertutup Formula Satu (F1) bagi pasukan baharunya, Ferrari, di Barcelona, kelmarin, akan tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu Britain berusia 40 tahun itu, dalam ujian kedua bersama Ferrari selepas 12 tahun kejayaannya bersama Mercedes, telah hilang kawalan ke atas kereta 2023 dan melanggar penghadang di Litar de Catalunya.
Sumber yang rapat dengan pasukan itu memberitahu AFP Hamilton berada dalam keadaan baik dan masih mengenal pasti had kelajuan kereta itu.
Hamilton berkongsi kereta dengan rakan sepasukan, Charles Leclerc, ketika dia bersiap sedia untuk musim 2025 yang bermula Mac di Grand Prix Australia.
Perjanjian dua tahunnya dengan Ferrari bermula minggu lalu apabila dia mengharungi pusingan di trek ujian Fiorano berhampiran pangkalan Ferrari di Maranello.
Ferrari akan memperkenalkan kereta baharu mereka pada 19 Februari di Fiorano, sehari selepas acara pelancaran musim F1 di London untuk menandakan ulang tahun ke-75 sukan itu. – AFP