MILAN, 23 JAN – Lewis Hamilton memandu kereta Formula Satu (F1) Ferrari buat kali pertama kelmarin, selepas juara dunia tujuh kali itu turun ke trek di litar ujian pasukan itu dan mengakui ia adalah salah satu perasaan terbaik dalam hidupnya.
Pemandu Britain berusia 40 tahun itu mengejutkan dunia lumba pada Februari lalu apabila dia mengumumkan, selepas 12 tahun bersama Mercedes, dia akan berpindah ke pasukan ikonik Itali itu.
Pada pagi berkabus di trek ujian Fiorano berhampiran pusat Maranello Ferrari di utara Itali, Hamilton memandu keluar dalam ujian kereta dalam pakaian merah dan topi keledar kuning.
“Saya cukup bernasib baik kerana banyak kali mendapat tempat pertama dalam karier saya, daripada ujian pertama hingga perlumbaan pertama, podium, kemenangan dan kejuaraan, jadi saya tidak pasti berapa banyak lagi tempat pertama saya miliki,” kata Hamilton. Para peminat fanatik Ferrari, menggelar Hamilton sebagai ‘menakjubkan,’ memerhati dalam cuaca basah dari jambatan yang menghala ke trek ketika Hamilton memandu dalam pusingan di litar tersebut.
Peminat berharap Hamilton dapat menamatkan penantian selama 18 tahun untuk kejuaraan pemandu F1 yang telah didominasi oleh Mercedes dan Red Bull.
Hamilton hanya memenangi dua Grand Prix (GP) kemenangan GP Britainnya pada Julai menamatkan siri kekalahan dua setengah tahun tanpa kemenangan dan menduduki tempat ketujuh dalam kejuaraan dunia 2024, 214 mata di belakang pemenang gelaran, Max Verstappen. – AFP