Hamilton terus cemerlang

ABU DHABI, 1 DIS – Lewis Hamilton meraikan perlumbaannya ke-250 dalam Formula Satu hari ini dengan kemenangan dalam perlumbaan Grand Prix musim ini buat kali ke-11, sekali gus menambah lagi portfolio pelumba tersebut.

Terdahulu, Lewis Hamilton merangkul petak utama pertamanya dalam tempoh empat bulan ketika pasukan Mercedes AMG PETRONAS mengungguli sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Abu Dhabi di Litar Yas Marina, kelmarin.

Juara dunia yang baharu dinobatkan itu mencatatkan masa 1 minit 34.779 saat untuk mengatasi rakan sepasukannya, Valtteri Bottas yang melakar catatan kedua terpantas tetapi terpaksa memulakan perlumbaan di petak belakang selepas dikenakan penalti susulan penggunaan enjin baharu.

Sekalipun Hamilton meningkatkan jumlah petak utamanya kepada 88 dengan lima daripada di Abu Dhabi, ia adalah petak utama pertama buat pemandu kelahiran Britain itu sejak GP Jerman, Julai lalu.

“Ia satu penantian yang panjang untuk mendapatkan semula petak utama,” kata Hamilton. “Semalam kami agak goyah jadi kami perlu bekerja keras sepanjang malam dan cuba kembali fokus.”

Di radio pasukannya, Hamilton memberitahu kru pasukannya: “Inilah yang saya cari-cari selama ini!” – AFP