Monday, March 17, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hammers bukan tandingan Citizens

    LONDON, 2 Feb – Gabriel Jesus telah membuka akaun jaringannya bersama Manchester City dalam kemenangan 4-0 ke atas West Ham United awal pagi tadi, sekali gus mempunyai mata yang sama dengan pasukan di tangga keempat, Liverpool dalam Liga Perdana.

    Pasukan Pep Guardiola mengambil kesempatan atas keciciran pesaing lain di kedudukan teratas liga bagi menyamai mata Liverpool, 10 mata di belakang pendahulu Chelsea.

    “Gabriel Jesus adalah seorang pejuang yang mempunyai deria untuk menjaringkan gol,” kata Guardiola yang gembira dengan pemain barunya itu.

    “Dia juga bagus dari segi asis.”

    Bagaimanapun Manchester United pula menemui jalan buntu, seri 0-0 di laman sendiri menentang Hull City, menyebabkan pasukan Jose Mourinho ketinggalan empat mata di belakang City dan Liverpool di tangga keenam.

    Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure (42) diraikan rakan sepasukannya, Leroy Sane dan David Silva selepas menjaringkan gol keempat City dalam aksi Liga Perdana menentang West Ham United. – AP
    Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure (42) diraikan rakan sepasukannya, Leroy Sane dan David Silva selepas menjaringkan gol keempat City dalam aksi Liga Perdana menentang West Ham United. – AP

    Kini hanya satu mata yang memisahkan pasukan-pasukan yang berada di tangga kedua, ketiga, keempat dan kelima, di mana Tottenham Hotspur dan Arsenal mempunyai 47 mata, satu mata di atas Liverpool dan City.

    Guardiola membuat dua pemilihan berani di Stadium London, menggugurkan penjaga gol Claudio Bravo bagi Willy Caballero, dan menyimpan penjaring utama City, Sergio Aguero di bangku simpanan.

    Dan ia berhasil bagi pasukan pelawat yang mendahului 3-0 dalam tempoh 39 minit menerusi jaringan Kevin De Bruyne, David Silva dan penyerang remaja Brazil, Jesus.

    De Bruyne membuka jaringan di minit ke-17, mengambil bola yang terlepas dan bertukar-tukar hantaran dengan Jesus sebelum merembat bola menuju sudut bawah gawang.

    Leroy Sane telah mencipta bagi jaringan kedua empat minit kemudian, melepasi dua pemain West Ham, Sam Byram dan Jose Fonte sebelum membuat hantaran kepada Silva bagi penyudah jarak dekat.

    Jesus kemudian membuka akaun jaringannya bagi City dengan ledakan kencang.

    Pengurus West Ham, Slaven Bilic telah memberikan Robert Snodgrass permulaan pertamanya di minit ke-64 selepas berpindah dari Hull City.

    Tetapi tiga minit kemudian, Yaya Toure telah menjadikan jaringan 4-0 menerusi sepakan penalti selepas Sterling direbahkan oleh Fonte di dalam petak, memastikan kemenangan kedua meyakinkan City ke atas West Ham selepas kemenangan 5-0 bulan lalu dalam Piala FA.

    “Kami bermain dengan tiga penyerang, di mana kadar usia adalah 20 tahun. saya suka melihat penyokong teruja,” kata Guardiola.

    “Pemain-pemain itu adalah masa depan kelab. Mereka akan menjadi pemain penting bagi beberapa tahun akan datang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda