Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hammers gagal tembusi Butland

    STOKE-ON-TRENT, 30 April – Stoke City terhutang budi kepada penjaga golnya, Jack Butland kerana berjaya membantu mereka daripada dibolosi dalam perlawanan yang berakhir dengan seri 0-0 di gelanggang sendiri menentang West Ham United bagi persaingan Liga Perdana semalam.

    Stoke hakikatnya sudah terselamat daripada zon penyingkiran meskipun mengharungi lima kekalahan daripada enam perlawanan memasuki perlawanan semalam, tetapi ia adalah satu mata penting bagi West Ham dan pengurusnya Slaven Bilic kerana mereka masih tidak jauh daripada zon penyingkiran.

    Tetapi West Ham merasakan bahawa mereka sepatutnya menang dalam perlawanan itu.

    Peluang pertama pasuka pelawat hadir selepas hanya tiga minit, apabila Manuel Lanzini membuat rembatan melencong namun percubaannya itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol England, Butland, yang baru pulih daripada kecederaan.

    Saido Berahino, terdesak untuk mendapatkan gol pertamanya bersama Stoke sejak berpindah dari West Brom, kemudian menyaksikan percubaannya ditampan oleh Winston Reid.

    West Ham nyaris mendapat pendahuluan menerusi satu percubaan akrobatik Andre Ayew, tetapi di depan kehadiran pengurus England Gareth Southgate, Butland sekali lagi melakukan aksi menyelamat yang hebat.

    Dan West Ham, telah menyaksikan mereka semakin ditarik ke zon penyingkiran, mempunyai peluang keemasan sekali lagi menerusi Jonathan Calleri.

    Penyerang Argentina itu, yang jarang membuat kemunculan bersama West Ham, cuba menjaringkan gol rabona selepas satu larian menarik tetapi percubaan bijaknya itu ditampan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda