LONDON, 7 Nov – West Ham United telah memecat pengurus Slaven Bilic semalam selepas siri keputusan buruk yang menyebabkan kelab itu berada di zon penyingkiran Liga Perdana, dengan David Moyes menjadi calon pilihan untuk menggantikannya.
Kelab itu telah mengumumkan pemergian warga Croatia itu, yang telah dilantik pada Jun 2015, selepas kekalahan besar 4-1 kepada Liverpool di Stadium London hujung minggu lalu, meletakkan mereka di kedudukan ke-18 dan berdepan perjuangan survival Liga Perdana.
Bilic, yang juga pernah bermain untuk West Ham, menjadi mangsa keempat pengurusan Liga Perdana musim ini susulan pemergian bos Crystal Palace Frank de Boer, pengurus Leicester Craig Shakespeare dan Ronaldo Koeman dari Everton.
“West Ham United mengesahkan bahawa Slaven Bilic sudah melepaskan jawatannya bersama kelab,” menurut kenyataan Hammers.
Hierarki kelab “percaya satu perubahan kini adalah perlu untuk kebaikan kelab menuju ke laluan positif dan seiring dengan cita-citanya,” tambah kenyataan itu lagi.
West Ham berkata dalam pengumumannya bahawa seorang pengurus baru dijangka datang dalam beberapa hari ini, dengan bekas pengurus Everton dan Manchester United, Moyes diramalkan mengambil alih.
Bercakap kepada wartawan ketika dia meninggalkan padang latihan West Ham, Bilic berkata: “Saya sudah menjangkakannya. Tiada perasaan benci. Saya boleh bangga dengan kerja saya di sini.
“Kami tidak memulakan musim penting ini dengan baik. Seperti kebanyakan kelab di seluruh Eropah, pengurus menjadi orang yang menerima padahnya. Ia adalah tindakan logik. Para penyokong hebat kepada saya dari awal hingga akhir.”
Pengerusi bersama David Gold dan David Sullivan berkata keputusan untuk memecat Bilic dibuat dengan ‘berat hati’. – AFP