Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Lapan orang wakil dari Brunei telah menyertai Hunting Akbar Macro Nusantara (HAMN) 2023 yang berlangsung di Bukit Shahbandar, hari ini dengan tema The Reflection: A Special Tribute to Almarhum Teguh Santosa.
HAMN 2023 yang dianjurkan oleh Republik Indonesia bagi memperingati kenangan dan dedikasi Komunitas Macro Fotografi Nusantara, Almarhum Teguh Santosa yang mana tema kali ini menumpukan kepada karya-karya beliau.
Salah satu karya beliau, The Reflection, merupakan nilai yang dekat dalam diri beliau dengan konsep karya-karya foto makro terutama yang dikenal dengan kesan Sang Embun.
Semasa temu bual dengan ketua wakil Brunei, Abang Muhd Saifulizam bin Abang Haji Zamhor telah mengongsikan pandangan mengenai HAMN yang menurutnya, penyertaan negara dalam HAMN 2023 ini adalah untuk menghidupkan karya atau seni fotografi makro.
“Tidak ramai yang mengetahui dan meminati fotografi makro kerana ia memerlukan lebih banyak kesabaran disebabkan gambar yang diambil terlalu kecil dan halus, sebab itu ramai yang lebih selesa dan minat mengambil gambar landskap dan hidupan liar.
“Dengan penyertaan kali ini, ia dapat menambah ilmu dalam fotografi dan seterusnya menaikkan lagi seni fotografi Brunei selain bertukar-tukar pandangan dengan peserta dari negara-negara lain,” jelasnya.
HAMN 2023 yang diadakan secara serentak di tiga buah negara seperti Indonesia, Brunei dan Malaysia itu telah disertai oleh 53 peserta.


