Friday, November 15, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 100 alumni RTB News erat silaturahim

    Oleh Lyna Mohamad

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Hampir 100 orang Alumni Kakitangan RTB News yang telah bersara sejak tiga dekad lalu atau berpindah ke jabatan kerajaan lain, bertemu untuk perhimpunan pertama sempena Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

    Majlis yang berlangsung di Hotel Higher, Kiulap itu turut menyaksikan pelancaran poster gergasi bekas kakitangan serta bacaan Tahlil untuk bekas petugas berita yang telah kembali ke rahmatullah.

    Pengerusi bersama majlis, Awang Zainal bin Tinggal dalam ucapan alu-aluannya antara lain membangkitkan mengenai isu melepaskan diri daripada bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan sokongan sebagai salah satu cabaran yang terbesar bagi seorang pesara kerajaan.

    Menurut beliau, budaya berdikari dapat mengelak masyarakat daripada ancaman kemiskinan.

    Beliau menekankan bahawa laluan menuju sara diri perlu dirangka sejak hari pertama mereka menyertai perkhidmatan awam dan menekankan keperluan untuk mewujudkan budaya sara diri bukan sahaja sebagai ukuran indeks pembangunan manusia dan sosial tetapi juga untuk menggerakkan rakyat ke arah kemandirian yang lebih tinggi, maruah diri dan menjauhi ancaman kemiskinan.

    Gambar ramai sebahagian alumni yang hadir pada majlis pertemuan semula berkenaan.

    Selepas ucapannya, beliau telah disertai oleh rakan pengerusi bersama, Haji Johari bin Haji Achee bagi melancarkan poster alumni dan disaksikan oleh penasihat bersama, Haji Ahmad bin Haji Murad dan Awang Mahari bin Ismail sebelum disusuli dengan bacaan Doa Selamat dan Tahlil.

    Selain meraikan Hari Raya, perhimpunan itu juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan memperbaharui tujuan dan nilai hidup.

    Alumni berkenaan merancang untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti pada masa akan datang, termasuk memberikan sokongan emosi dan psikologi apabila diperlukan.

    Alumni Kakitangan RTB News adalah kumpulan tidak rasmi (maya) yang terdiri daripada bekas kakitangan RTB News yang merancang aktiviti sosial ad-hoc untuk kesejahteraan kumpulan itu.

    Para hadirin adalah perintis berita televisyen RTB dan berita radio yang diubah suai pada tahun 70an di bawah bimbingan profesional BBC dengan sebahagian daripada mereka telah bekerja bersama selama lebih 20 tahun walaupun seawal zaman Jabatan Penerangan dan Penyiaran pada 60an.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda