WINDHOEK, 24 SEPT – Kira-kira 90 ekor kerbau mati selepas insiden berempuh-rempuhan dan terjatuh dari tebing ketika melarikan diri daripada serangan singa di kawasan timur Namibia kelmarin, kata pegawai hidupan liar.
Rempuhan itu berlaku sekitar jam 5 pagi di sepanjang Sungai Chobe, dalam kawasan pemuliharaan Zambezi, sebuah zon unik yang kaya dengan hidupan liar, air terjun, hutan dan paya.
Jurucakap Kementerian Pelancongan, Ndeshipanda Hamunyela berkata singa-singa itu mengejar kerbau berkenaan dari sempadan jiran Botswana.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial oleh penyiar negara Namibia Broadcasting Corporation menunjukkan kira-kira 12 lelaki menggunakan kapak untuk melapah bangkai kerbau sebelum memuatkan daging ke dalam trak pikap.
“Kementerian bersama pihak penguat kuasa lain berada di lokasi untuk mengawal keadaan,” kata Hamunyela.

“Daging itu akan diagihkan kepada komuniti setempat dengan kerjasama pihak berkepentingan lain di rantau ini,” tambahnya.
Pada Oktober 2023, lebih 100 ekor kerbau yang dikejar sekumpulan 12 singa mati lemas di Sungai Chobe.
Manakala pada 2018, lebih 400 ekor kerbau, yang dipercayai turut dikejar singa, mati lemas di sebatang sungai di utara Botswana.
Kematian kerbau akibat lemas di sungai bukanlah sesuatu yang luar biasa di rantau itu, tetapi biasanya dalam jumlah kecil. – AFP

