BANGKOK, 21 NOV — Pihak berkuasa maritim Thailand kelmarin berjaya menyelamatkan hampir 100 penumpang dari sebuah feri yang mengalami kebocoran ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah pulau pelancongan popular ke tanah besar di wilayah timur Trat.
Pegawai Pejabat Perhubungan Awam wilayah Trat berkata kru feri penumpang yang dikendalikan secara persendirian itu, yang berlepas dari Koh Kood menuju ke bandar Trat, mengesan kebocoran pada bahagian lambung kira-kira separuh perjalanan 40 kilometer merentasi Teluk Thailand. Kapten feri berkenaan kemudian membuat keputusan untuk menurunkan sauh akibat keadaan ombak tinggi dan meminta bantuan, menurut pegawai.
Pengendali feri lain, bot nelayan dan kapal tentera laut bergegas ke lokasi kejadian dan memindahkan 97 penumpang serta 10 kru dalam tempoh kurang satu jam, kata mereka.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Media tempatan melaporkan air yang memasuki ruang lambung kemudian dipam keluar sebelum bot tersebut ditunda ke pantai. Koh Kood merupakan destinasi popular dalam kalangan pengembara bajet, pasangan bulan madu dan pelancong mewah. Kepulauan Thailand menjadi tarikan utama pelancong, namun kejadian kemalangan di laut sesekali berlaku.
Insiden terburuk beberapa tahun kebelakangan ini berlaku pada Julai 2018 apabila sebuah bot karam dalam cuaca buruk di Laut Andaman berhampiran pulau peranginan Phuket di selatan Thailand, mengorbankan 47 pelancong China. – AP


