BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Nuqra Math Learning Centre telah menganjurkan jerayawara Genius Sifir yang pertama kali di Brunei dan menghimpunkan hampir 1,000 peserta berumur 6 hingga 11 tahun bersama ibu bapa mereka di Press Conference Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC), Berakas.
Program tersebut menampilkan pakar matematik dari Malaysia, Che Man yang terkenal dengan teknik sifir pantas dan mudah difahami.
Program diadakan bertujuan untuk memperkukuh asas matematik melalui pendekatan interaktif yang menyeronokkan, sambil melibatkan ibu bapa untuk belajar dan membimbing anak di rumah.
Aktiviti merangkumi latihan bersama ibu bapa dan sesi kuiz interaktif bersama Che Man, menjadikan suasana program penuh semangat dan ceria. Anak-anak teruja menjawab sifir, sementara ibu bapa turut memberi galakan dan mempelajari teknik baharu untuk membantu anak di rumah.
Seorang ibu peserta berkongsi pengalamannya mengatakan, “Mula-mula datang, expectation macam acara biasa, (tetapi) sudah datang ke mari, Alhamdulillah wow jua! Ada teknik yang lebih senang unutuk kami sebagai parents mengajar di rumah.”
Dengan penyertaan yang luar biasa dan maklum balas positif, acara berkenaan membuktikan bahawa matematik boleh dipelajari dengan cara yang menyeronokkan serta mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa.
Semua di atas: Antara suasana semasa acara berkenaan. – GAMBAR- GAMBAR SERAHAN NUQRA

