Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seramai 945 orang ketua keluarga dan individu telah menerima pelitup muka yang disumbangkan oleh Brothers Garage di Kampung Serusop, kelmarin.
Penyampaian sumbangan yang berlangsung di luar premis Brother Garage itu berjalan dengan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seperti penjarakan fizikal dan mengimbas kod QR BruHealth.
Menurut wakil Brothers Garage, pengagihan pelitup muka itu bermula pukul 8 pagi sehingga sekitar tengah hari.
Namun dengan adanya sambutan dan masih ramai lagi yang memerlukan, sumbangan diteruskan sehingga 5:30 petang secara pandu lalu di kawasan premis.
“Kami sangat berbesar hati kerana dapat membantu mereka yang memerlukan di musim penularan wabak COVID-19 ini. Dengan adanya sumbangan hampir 1,000 kotak pelitup muka, kami secara tidak langsung dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai untuk sama-sama membantu usaha Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini dengan menggunakan pelitup muka setiap masa apabila berada di luar,” ujarnya.
