Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 1,000 pelarian Rohingya tiba di Aceh dalam seminggu

    LHOKSEUMAWE, 21 NOV – Hampir 1,000 Muslim Rohingya dari Myanmar telah tiba dengan bot di wilayah Aceh paling utara di Indonesia dalam tempoh enam hari lalu, kata pegawai pada kelmarin.

    Mereka termasuk lima kumpulan dengan wanita dan kanak-kanak yang terapung selama berhari-hari. Satu kumpulan lebih 240 orang dua kali dinafikan pendaratan oleh penduduk di daerah Aceh Utara, mencetuskan kebimbangan daripada pertubuhan hak asasi manusia. Kumpulan itu akhirnya turun di daerah Bireuen pada pagi Ahad.

    “Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa dan masyarakat tempatan yang telah menerima dan memberikan permit pendaratan untuk mereka dan pada masa hadapan kami berharap semangat perpaduan dan kemanusiaan ini akan terus diperluaskan kepada pelarian yang memerlukan bantuan dan perlindungan,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian berkata dalam satu kenyataan.

    Pelarian yang tiba di Aceh telah melalui perjalanan laut yang sukar. Kebanyakan mereka meninggalkan kem pelarian di Bangladesh, di mana lebih 700,000 telah melarikan diri berikutan tindakan keras oleh tentera Myanmar pada Ogos 2017. Pasukan keselamatan Myanmar telah dituduh melakukan rogol, pembunuhan besar-besaran dan pembakaran beribu-ribu rumah Rohingya.

    Kebanyakan pelarian telah cuba untuk sampai ke Malaysia, tetapi ramai yang telah berakhir di Indonesia sepanjang perjalanan.

    “Pendaratan ratusan pelarian Rohingya yang digagalkan adalah langkah besar ke belakang bagi Indonesia, di mana masyarakat sebelum ini telah menunjukkan kemurahan hati dan kemanusiaan terhadap mereka yang mencari keselamatan selepas perjalanan bot yang berbahaya,” kata pengarah eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.

    Kementerian Luar Negeri Indonesia berkata bahawa ia bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian 1951, dan tidak mempunyai kewajipan atau kapasiti untuk menampung pelarian.

    “Penginapan disediakan semata-mata atas sebab kemanusiaan. Ironinya, banyak negara yang menyertai konvensyen itu sebenarnya menutup pintu mereka dan malah melaksanakan dasar tolak balik terhadap pelarian,” kata Jurucakap kementerian itu, Lalu Muhamad Iqbal dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, kebaikan Indonesia dalam menyediakan tempat perlindungan sementara telah dieksploitasi secara meluas oleh penyeludup manusia yang mencari keuntungan kewangan tanpa mempedulikan risiko yang dihadapi oleh pelarian, terutamanya golongan yang terdedah seperti wanita dan kanak-kanak. – AP

    Wanita-wanita etnik Rohingya yang baru tiba, sebahagian daripada kumpulan yang beberapa kali dinafikan mendarat oleh penduduk tempatan, berehat di pusat perlindungan sementara di Bireuen, wilayah Aceh, Indonesia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda