ANKARA, 6 OKT – Hampir 1,000 orang dilaporkan terkandas di kawasan Tibet berhampiran Gunung Everest selepas ribut salji secara tiba-tiba menutup laluan masuk dan meruntuhkan khemah-khemah pada hujung minggu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media rasmi China kelmarin.
Pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi menyelamat besar-besaran dengan menghantar ratusan penduduk kampung dan anggota kecemasan untuk membersihkan timbunan salji tebal di kawasan berketinggian lebih 4,900 meter dari paras laut, menurut laporan Shanghai Daily.
Pegawai berkata beberapa individu yang berkhemah menunjukkan tanda-tanda hipotermia.
Ribut yang bermula pada malam Jumaat dan berlarutan hingga Sabtu itu menyebabkan kawasan sekitar dilitupi salji tebal. – Bernama/Anadolu


