SIEM REAP, 10 DIS – Kira-kira 9,900 keluarga yang tinggal dalam bangunan tiada kebenaran di Taman Arkeologi Angkor Kemboja setakat ini telah menawarkan diri untuk ditempatkan semula di lokasi baharu yang ditetapkan, kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet pada Jumaat.
Tapak yang dipindahkan seluas 2,456 hektar itu terletak di kawasan Run Ta Ek di daerah Banteay Srei dan kawasan Pak Sneng di daerah Angkor Thom di luar taman purba itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada awda semua kerana secara sukarela bersetuju untuk keluar dari Taman Arkeologi Angkor untuk menetap di lokasi baharu bagi memelihara tapak warisan dunia nenek moyang kita,” kata Hun Manet dalam ucapan semasa lawatan ke ribuan daripada isi rumah yang dipindahkan.
Perdana menteri berkata taman Angkor seluas 401 kilometer persegi itu adalah rumah kepada 91 kuil purba yang dibina dari abad ke-9 hingga ke-13.
“Ia adalah tarikan pelancong, menarik jutaan pelawat antarabangsa ke Kemboja, khususnya ke wilayah Siem Reap,” katanya.
Kerajaan Kemboja mula memindahkan setinggan keluar dari taman Angkor selepas Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberi amaran bahawa taman purba itu boleh ditarik balik daripada Senarai Warisan Dunia kerana terlalu banyak bangunan haram dibina di kawasan Angkor, yang bertentangan dengan terma dan syarat yang ditetapkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk penyenaraian warisan. – Xinhua


