Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 10,000 warga asing diusir

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Seramai 9,975 orang warga asing telah diusir dan dipulangkan ke negara asal bagi tempoh 2014 sehingga 2019 (Januari hingga September) menerusi Operasi SAPU yang dikelolakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, warga asing berkenaan telah didapati melakukan berbagai-bagai kesalahan yang menyalahi undang-undang negara ini yang mana dalam penguatkuasaan undang-undang, menahan, menangkap dan membuat siasatan malahan mengusir dan memulangkan juga merupakan tanggungjawab JIPK.

    Antara mereka yang telah diusir adalah warganegara asing dari negara-negara jiran yang telah menyalahi undang-undang.

    Jabatan berkenaan mengingatkan bahawa mana-mana warga asing yang didapati menyalahi undang-undang di Brunei, nama mereka akan dimasukkan ke dalam senarai orang yang ditegah masuk ke negara ini (blacklisted person).

    Kenyataan menegaskan, dalam usaha memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi, JIPK akan meneruskan lagi operasi-operasi di negara ini yang bertujuan untuk menguatkuasakan akta dan peraturan yang berkaitan dengan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing.

    JIPK turut mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi talian hotline 8753888 dan 8734888 dengan maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan.

    Anggota JIPK ketika menyoal siasat warga asing semasa Operasi SAPU. – Gambar oleh JIPK

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda