DUSSELDORF, 14 SEPT – Seramai 13.7 juta rakyat Jerman di North Rhine-Westphalia (NRW), layak mengundi hari ini untuk pilihan raya tempatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pengundian yang bermula 8 pagi itu akan menentukan kepimpinan di peringkat bandar, daerah dan majlis perbandaran bagi tempoh lima tahun akan datang.
Canselor Friedrich Merz berkata, beliau akan meneliti keputusan pilihan raya itu kerana ia penting untuk politik negeri dan negara.
Kira-kira 20,000 jawatan dipertandingkan melibatkan 396 bandar dan perbandaran, 31 daerah serta Parlimen Wilayah Ruhr yang mewakili kawasan perindustrian terbesar di Jerman.
Antara jawatan yang dipertandingkan ialah Datuk Bandar, Datuk Bandar Utama, ahli majlis daerah dan majlis integrasi.
Pilihan raya tempatan di NRW itu merupakan pilihan raya besar terakhir tahun ini di Jerman dan dilihat sebagai ujian pertama terhadap pendapat umum selepas pilihan raya persekutuan awal Februari lalu.
Sejak 1999, parti konservatif Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) sering mendapat undi terbanyak di NRW.
Pada pilihan raya 2020, CDU menang dengan 34.3 peratus undi, diikuti Parti Demokratik Sosial (SPD) dengan 24.3 peratus.
Parti Hijau pula mencatat keputusan terbaik mereka dengan 20 peratus, termasuk memenangi tiga jawatan Datuk Bandar di Aachen, Bonn dan Wuppertal. – Bernama


