Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Permintaan terhadap sarung ketupat bukan saja mendapat sambutan pada bulan Syawal, bahkan tempahan untuk sarung ketupat turut mendapat sambutan pada hari-hari biasa.
Walaupun hari ini adalah hari kesembilan Syawal, Hajah Osrah binti Haji Mohamad, 72, masih lagi sibuk membuat sarung ketupat untuk memenuhi permintaan pelanggan tetap dan menambah stok untuk gerai jualannya di Tamu Kianggeh.
Beliau ketika di temu bual Media Permata di gerai jualannya di tamu berkenaan hari ini, antara lain mengongsikan, menganyam ketupat jika dipelajari dengan sebaik-baiknya akan mendatangkan hasil yang dapat membantu ekonomi keluarga.
Kepantasan tangan menganyam sarung ketupat tidak sedikit pun membuatkan Hajah Osrah merasa penat malah ia dapat memberi kegembiraan kepada beliau kerana dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang mampu mendatangkan hasil kepadanya.
Beliau dapat menyiapkan dalam 180-200 buah anyaman sehari tetapi menjelang bulan puasa dan Syawal pula, permintaan terhadap sarung ketupat amat menggalakkan sehinggakan tidak menang tangan untuk memenuhi kehendak pelanggan. Untuk itu, beliau terpaksa mendapatkan sarung ketupat dengan peniaga anyaman ketupat yang lain.
Setelah selesai berniaga, kerja-kerja menganyam akan disambung di rumah pada sebelah petang, untuk memastikan masa yang ada digunakan sebaik mungkin.
Beliau yang berasal dari Kampung Lumapas dan kini menetap di Kampung Orang Kaya Besar Imas menjelaskan, penglibatan dalam perniagaan kecil-kecilan itu bermula setelah bersara pada 2009.
“Hasrat untuk berniaga secara kecil-kecilan ini bermula dengan hanya menjual buah-buahan dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri dan diambil daripada peniaga lain.
“Setelah melihat sambutan yang baik, ditambah dengan menjual daun nipah, anyaman ketupat dan acuan untuk kuih-muih melayu yang lain, daun nipah ini banyak kegunaannya terutama untuk pembuatan kuih-muih Melayu,” jelasnya.
Beliau turut mengongsikan pengalaman rayanya semasa zaman kanak-kanak dulu yang mana ketupat ini turut menjadi salah satu hidangan apabila Hari Raya.
“Ketupat ini bukan sahaja dimakan bersama dengan kuah sate tetapi juga dengan kuah kari dan juga rendang,” tambahnya.

