GARDINOVCI, 10 JAN – Pihak berkuasa Serbia kelmarin mula memindahkan hampir 200 haiwan yang telah terperangkap di sebuah pulau sungai selama berminggu-minggu dan berdepan masalah kelaparan serta kesejukan seiring dengan penurunan suhu.
Lembu, anak lembu dan kuda terperangkap di pulau Krcedinska Ada di tengah sungai Danube setelah paras air naik mendadak bulan lalu, menghalang laluan ke pesisir pantai.
Sungai Danube adalah sungai terbesar di Eropah, mengalir melalui beberapa negara, termasuk Serbia. Pulau Krcedinska Ada terletak kira-kira 50 kilometer di utara ibu negara, Belgrade.
Cuaca di Serbia tidak menentu pada minggu-minggu akhir tahun lalu dan paras sungai Danube telah meningkat akibat pencairan salji di kawasan hulu.
Minggu ini, cuaca panas berubah menjadi cuaca bersalji dan sejuk yang melanda wilayah Balkan.
Petani tempatan di sekitar Krcedinska Ada berkata mereka terkejut dengan paras kenaikan air sungai Danube semasa musim panas dan kering. Dengan keadaan cuaca yang semakin teruk, haiwan-haiwan itu berada dalam bahaya, kata Milenko Plavsic, yang memiliki beberapa ekor lembu.
“Lembu-lembu itu berada dalam bahaya. Ada yang mati,” katanya. Lazimnya, tambahnya, haiwan-haiwan itu akan berjalan pulang sendiri melalui perairan cetek dan kembali ke kandang, kira-kira 10 kilometer jauhnya.
“Lembu-lembu itu kelaparan, paras air meningkat tinggi sehingga tiada apa-apa untuk dimakan.”
Pihak berkuasa tempatan membawa rakit sungai berpagar supaya haiwan-haiwan itu selamat semasa pemindahan dijalankan. Ia memerlukan beberapa perjalanan untuk membawa balik semua haiwan. – AP


