Hampir 2,000 korban di AS dalam 24 jam

WASHINGTON, 8 APRIL – Hampir 2,000 pesakit COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, berdasarkan satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins, setakat jam 8:30 malam tadi.

Bilangan 1,939 kematian itu yang turut mencatat rekod angka harian, menjadikan jumlahnya mencecah 12,722 di AS, menyusuli negara paling terkesan setakat ini – Itali dengan 17,127 korban dan Sepanyol 13,798.

Presiden Donald Trump mempertahankan respons beliau terhadap krisis itu, sebaliknya semalam menyalahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang didakwa lembap bertindak.

Trump mempersoalkan kenapa WHO memberi ‘saranan salah’, yang dilihat merujuk nasihat badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu terhadap sekatan perjalanan antarabangsa untuk menghentikan penularan virus tercetus dari China itu.

“Mereka silap mengenai perkara itu. Mereka benar-benar terlepas. Mereka sepatutnya membuat seruan itu berbulan-bulan lebih awal,” katanya.

Trump mendapat kritikan hebat kerana memandang remeh wabak itu pada peringkat awal yang disifatkannya seperti selesema biasa dan terkawal di AS, sebelum menerima hakikat bahawa ia adalah isu darurat negara. – AFP