Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 200,000 penduduk Bosnia terputus bekalan elektrik

    SARAJEVO, 26 DIS – Sebahagian Bosnia dan Herzegovina terjejas dan lebih 170,000 penduduk terputus bekalan elektrik Selasa lalu akibat ribut salji melanda wilayah itu.

    “Walaupun usaha dan kerja untuk membaiki kerosakan terus dilakukan, akan tetapi keadaan bekalan elektrik bertambah teruk. Pada masa ini, 127,000 titik pemeteran tidak mempunyai kuasa,” kata Elektroprivreda BiH.

    Elektrokrajina, yang meliputi majlis perbandaran entiti Serb di Bosnia, Republika Srpska, juga mengumumkan, sekitar 50,000 penggunanya tidak mempunyai kuasa elektrik.

    “Semua pasukan yang terlibat telah dikerahkan dan bekerja sejak awal pagi untuk membaiki kerosakan,” kata syarikat itu.

    Pada masa yang sama, di bahagian barat Bosnia, keadaan darurat diisytiharkan selepas cuaca buruk menyekat semua pintu keluar dan masuk ke perbandaran Drvar, menyebabkan 17,000 penduduk terkandas.

    “Keadaan ini amat sukar. Salji terus turun. Orang ramai terkandas dalam salji,” kata Presiden Majlis Perbandaran Drvar, Jasna Pecanac, kepada media tempatan.

    Timbunan salji di beberapa buah kampung sekitar Drvar mempunyai ketinggian sehingga dua meter manakala ribut salji pula telah menyukarkan usaha pembersihan.

    “Kami meminta bantuan untuk pembersihan salji. Semua jentera yang ada sudah berada di kawasan terjejas,” kata Pecanac.

    Disebabkan salji lebat, kelas telah dibatalkan di sekolah rendah di Banja Luka, bandar kedua terbesar di Bosnia dan Herzegovina dan pusat pentadbiran Republika Srpska. – AFP

    Beberapa buah bas dilitupi salji di Sarajevo, Bosnia pada 24 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda