Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 280,000 pelajar AS dijangkiti COVID-19

    WASHINGTON, 29 SEPT – Hampir 280,000 pelajar sekolah dijangkiti COVID-19 antara 1 Mac hingga 19 September lalu, demikian menurut data terperinci yang dikeluarkan semalam dalam laporan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

    Angka itu membabitkan kira-kira empat peratus daripada keseluruhan kes dalam tempoh berkenaan, dengan kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun dua kali ganda berkemungkinan dijangkiti berbanding yang berusia lima hingga 11 tahun.

    Kadar kes baharu bertambah pada tahap stabil pada musim bunga dan kemudian meningkat pada musim panas, memuncak pada 19 Julai dengan purata kes setiap minggu sebanyak 37.9 per 100,000 kes.

    Kes baharu kemudian meningkat selama beberapa minggu sebelum menurun pada akhir Ogos, namun kini kelihatan meningkat semula menuju musim panas.

    Penulis berkata, data itu membantu menetapkan garis dasar bagi memantau trend jangkitan COVID-19 ketika beberapa sekolah kembali kepada sesi pembelajaran secara langsung ketika ini dan beberapa bulan akan datang.

    “Kajian di sekolah menunjukkan bahawa pembelajaran secara langsung dapat dilakukan dengan selamat dalam komuniti dengan kadar transmisi SARS-CoV-2 yang rendah, namun mungkin meningkatkan risiko penularan kepada masyarakat, yang mana transmisinya tinggi,” kata mereka.

    Secara keseluruhannya, seramai 277,285 kanak-kanak dijangkiti, 3,240 dimasukkan ke hospital (1.2 peratus), 404 mendapat rawatan rapi (0.1 peratus) dan 51 meninggal dunia (0.01 peratus).

    Jumlah itu mungkin lebih rendah secara realitinya kerana jumlah sebenar kanak-kanak yang dijangkiti mungkin jauh lebih tinggi dan tidak dilaporkan, berdasarkan jumlah kes yang tidak bergejala.

    Kanak-kanak dalam kumpulan 5 hingga 11 tahun menyumbang sebanyak 101,503 kes dan 20 kematian, manakala kanak-kanak dalam kumpulan 12 hingga 17 tahun menyumbang 175,782 kes dan 31 kematian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda