Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Hampir 300 anak yatim dari Mukim Berakas A dan Kampung Belimbing serta keluarga mereka telah menghadiri acara berbuka puasa yang diadakan di Jerudong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.
Turut hadir ialah Duta Besar Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Hamit Esroy dan Duta Besar Republik Islam Iran, TYT Mohammad Taghi Rajabi.
Majlis yang dihoskan oleh Nazeer Ahamed Zackiriah dan keluarga itu turut menyumbangkan wang tunai dan sepasang kain dari Nazmi Textile Mall untuk 298 anak yatim yang tinggal di Kampung Belimbing, Kampung Delima Satu, Kampung Serusop, Kampung Anggerek Desa dan Kampung Pulaie.
Selain itu, anak-anak yatim dari Kampung Burung Pingai, Kampung Jaya Bakti, Kampung Jaya Setia, Kampung Pancha Delima, Kampung Orang Kaya Besar Imas, Kampung Lambak A dan B, Kampung Lambak Kiri dan Kampung STKRJ Lambak turut menerima sumbangan berkenaan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah yang dibacakan oleh Imam Masjid Mohamed Bolkiah, Haji Muslim.