LONDON, 17 April – Hampir 300 orang telah ditangkap dalam protes perubahan iklim yang berterusan di London menyebabkan sebahagian daripada ibu kota British itu terhenti, kata polis kelmarin.
Para demonstran mula menyekat sebuah jambatan dan persimpangan jalan utama utama pada awal kempen penentangan sivil Isnin lalu yang turut mencetuskan tindakan serupa di beberapa bahagian lain di Eropah.
Bantahan itu dianjurkan oleh kumpulan UK ‘Extinction Rebellion’ yang ditubuhkan di Britain tahun lalu oleh ahli akademik dan menjadi salah satu daripada pergerakan alam sekitar paling pesat berkembang di dunia.
“Menjelang petang Selasa, 290 tangkapan telah dibuat. Kami menjangka demonstrasi akan berlanjutan sepanjang minggu yang akan datang,” kata kenyataan Polis Metropolitan London.
Angka tangkapan itu termasuk tiga lelaki dan dua wanita yang ditahan di pejabat gergasi tenaga UK, Royal Dutch Shell atas kecurigaan kerosakan jenayah.
Para pekempen memalitkan grafiti dan menghancurkan tingkap di bangunan Pusat Shell. Kebanyakan ditangkap kerana melanggar undang-undang perintah awam dan menghalang jalan raya.
Protes itu menyaksikan lebih 1,000 orang menyekat jambatan Waterloo Bridge di tengah London sambil meletakkan pokok-pokok di dalam pasu di sepanjang jambatan itu.
Para penunjukkan perasaan kemudian mendirikan kem di Hyde Park sebagai persediaan untuk demonstrasi lebih lanjut sepanjang minggu. – AFP
