Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 40 peratus pelarian Myanmar adalah kanak-kanak

    NAYPYIDAW, 21 NOV – Hampir 40 peratus daripada lebih 3.4 juta orang di Myanmar adalah kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan kediaman akibat perang saudara dan cuaca ekstrem yang didorong oleh perubahan iklim, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    Myanmar mengalami kekacauan sejak tentera menggulingkan kerajaan terpilih Aung San Suu Kyi pada 2021 dan melancarkan tindakan keras yang mencetuskan pemberontakan bersenjata terhadap pemerintahan junta.

    Negara Asia Tenggara itu turut dilanda Taufan Yagi pada September, menyebabkan banjir besar yang meragut lebih 400 nyawa dan memaksa ratusan ribu orang meninggalkan rumah mereka.

    “Krisis kemanusiaan di Myanmar kini mencapai titik kritikal, dengan konflik yang semakin memuncak dan kejutan iklim yang menambah risiko luar biasa terhadap kanak-kanak dan keluarga,” kata Timbalan Pengarah Eksekutif Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Ted Chaiban, dalam satu kenyataan hari ini.

    “Lebih 3.4 juta orang telah dipindahkan di seluruh negara, hampir 40 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.”

    Junta sedang berhadapan dengan penentangan bersenjata yang meluas terhadap rampasan kuasa 2021, dan tentera mereka telah dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai serta menggunakan serangan udara dan artileri untuk menghukum masyarakat awam.

    Pertempuran, serta kejadian iklim yang teruk seperti Taufan Yagi, telah memberi kesan yang memusnahkan terhadap kanak-kanak, kata Chaiban, menyebabkan mereka dipindahkan, terdedah kepada keganasan, dan terputus dari penjagaan kesihatan dan pendidikan.

    Dia berkata tujuh kanak-kanak dan dua orang awam lain terbunuh pada 15 November dalam serangan yang mengenai kawasan gereja Kachin di mana kanak-kanak sedang bermain bola sepak.

    Negeri Kachin di utara Myanmar adalah tanah air kepada Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA), salah satu daripada pelbagai kumpulan bersenjata etnik minoriti yang menguasai wilayah di utara dan bertempur dengan junta. – AFP

    Pelarian Rohingya berkumpul berhampiran pagar semasa lawatan media yang dianjurkan oleh kerajaan, ke kawasan tanpa pemilik antara Myanmar dan Bangladesh, berhampiran kampung Taungpyolatyar, Maung Daw, di utara Negeri Rakhine, Myanmar, 29 Jun 2018. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda