Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 400 kakitangan kerajaan bantu Kementerian Kesihatan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Hampir 400 orang pegawai dan kakitangan kerajaan secara keseluruhannya, telah berganding bahu untuk membantu Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani krisis kesihatan yang melanda negara pada ketika ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan mengenai usaha dan langkah agensi-agensi kerajaan di setiap kementerian dalam menghadapi situasi pandemik bersama Kementerian Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan, sejak tertubuhnya National Common Centre di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, yang beroperasi selama 24 jam, lebih 60
    orang telah ditugaskan secara bergilir-gilir.

    Tambahnya, semua kementerian telah memainkan peranan masing-masing di mana kebiasaannya setiap kementerian akan menyediakan atau mencalonkan kakitangan mereka untuk turun padang bagi sama-sama membantu bersama Kementerian Kesihatan.

    Antaranya membantu dengan melakukan kerja-kerja logistik, penghantaran catuan barangan dan sebagainya.

    “Bukan sahaja daripada pihak kerajaan, malah agensi-agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan dalam bekerjasama menghulurkan bantuan kepada Kementerian Kesihatan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, National Chamber of Commerce and Industry of Brunei Darussalam dan tidak ketinggalan juga para sukarelawan.

    “Malah di peringkat menteri juga sentiasa melaksanakan perbincangan dari semasa ke semasa dalam menangani isu-isu yang berkaitan seperti keperluan vaksin dan sebagainya.

    “Perlu diketahui juga, impak daripada pandemik COVID-19 ini sememangnya bukan hanya isu kesihatan malah ia juga mencetus implikasi-implikasi yang lain dari segi pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Oleh itu, pentingnya kerjasama daripada semua pihak,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media harian yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda