Hampir 50% lengkap dua dos

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Seramai 6,506 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat kelmarin (9 Oktober) di seluruh negara.

Oleh yang demikian, kini di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, sebanyak 328,431 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 72.4 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Manakala, 211,380 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 46.6 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan telah meneliti waktu-waktu perkhidmatan di pusat-pusat vaksinasi.

“Semua pusat vaksinasi di seluruh negara akan ditutup pada jam 6 petang bermula pada hari Ahad, 10 Oktober 2021,” kongsi Yang Berhormat Dato.