ULAN BATOR, 23 OKT – Hampir separuh daripada kawasan daratan Mongolia kini diliputi salji, menurut laporan Agensi Meteorologi dan Pemantauan Alam Sekitar negara itu, hari ini.
“Setakat 20 Oktober, sekurang-kurangnya 46 peratus daripada keseluruhan wilayah Mongolia diliputi salji setebal sehingga 30 sentimeter, sekali gus meningkatkan risiko cuaca sejuk melampau atau ‘dzud’ pada musim sejuk kali ini,” menurut agensi berkenaan dalam satu kenyataan.
‘Dzud’ ialah istilah Mongolia yang merujuk kepada musim sejuk melampau sehingga menyebabkan kematian haiwan ternakan apabila permukaan tanah membeku atau diliputi salji tebal.
Mongolia terkenal dengan iklim benua yang ekstrem, dicirikan oleh musim sejuk yang panjang dan melampau serta musim panas yang singkat. – Bernama


