Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 12 APRIL – Seramai 594 orang anak yatim berusia 18 tahun ke bawah dari Daerah Tutong yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menerima sumbangan daripada Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Tabung Kebajikan Anak-anak Yatim Daerah Tutong, hari ini.
Penyampaian derma berkenaan diadakan pada majlis berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong dan disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, surah Ad-Duha ayat 1 hingga ayat 11 oleh penuntut Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong, Dayang Nur Damia Faqihah binti Mohamad Aji, dan seterusnya tafsiran ayat oleh guru Sekolah Ugama Tutong Kem, Dayang Norlaila binti Haji Metussin.
Sumbangan berkenaan antara lain bertujuan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yatim bagi menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Majlis juga diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada tiga orang penuntut anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi Daerah Tutong.



