MANILA, 29 OKT – Polis Filipina telah menahan hampir 600 orang semasa serbuan ke atas
apa yang disyaki operasi pemerdagangan seks dan penipuan dalam talian di Manila,
kata pihak berkuasa kelmarin.
Warga China, Korea, Vietnam dan Filipina adalah antara orang yang ditemui di dalam perkarangan itu semasa operasi malam Jumaat, kata Suruhanjaya Presiden Anti-Jenayah Terancang (PAOCC) dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa sedang menemu bual 598 tahanan untuk menentukan siapa yang menjadi mangsa atau suspek, kata Setiausaha Kehakiman, Crispin Remulla kepada pemberita.
Kedutaan China telah diminta membantu mengenal pasti sembilan orang yang disyaki menjalankan perniagaan itu, yang dilesenkan sebagai syarikat permainan Internet.
“Ia operasi berskala besar… operasi bermodal sangat baik yang menjana wang daripada pemerdagangan orang,” kata Remulla.
Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat mengenai penipuan Internet di rantau Asia Pasifik, selalunya dikendalikan oleh mangsa pemerdagangan manusia yang ditipu atau dipaksa untuk mempromosikan pelaburan kripto palsu.
Remulla berkata pihak berkuasa sedang memohon waran untuk mengakses komputer yang ditemui di dalam kawasan itu, yang mereka syaki digunakan untuk penipuan kripto dan cinta.
Semasa serbuan itu, dua warga China berkata mereka ditahan di luar kehendak mereka dan mempunyai ‘tanda seksaan’ yang kelihatan pada badan mereka, kata PAOCC.
Seorang daripada mereka mendakwa dia diculik dan dijual dengan harga 500,000 peso (AS$8,800) daripada POGO lain.
Seorang lagi berkata dia telah ditahan selama setahun dan dipaksa bekerja sehingga 15 jam sehari. – AFP


