NEW DELHI, 12 OGOS – Pegawai India memaklumkan kira-kira 68 orang masih hilang seminggu selepas dinding air berais melanda sebuah bandar di Himalaya dan menenggelamkannya dalam lumpur.
Dengan tambahan empat kematian yang telah disahkan, jumlah korban keseluruhan tragedi pada 5 Ogos itu dijangka melebihi 70 orang.
Video yang dirakam mangsa terselamat menunjukkan arus deras air berlumpur menghanyutkan bangunan pangsapuri bertingkat-tingkat.
Pegawai bencana hari ini berkata mereka sedang mencari mayat dalam runtuhan di bandar pelancongan Dharali di negeri Uttarakhand.
Seorang ahli pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, Gambhir Singh Chauhan berkata, anjing pengesan telah mengenal pasti beberapa lokasi yang dipercayai terdapat mayat, ‘namun apabila kerja penggalian dimulakan, air keluar dari bawah.’
Beliau berkata, pasukan penyelamat juga menggunakan radar penembus tanah dalam pencarian tragis itu.
Lebih 100 orang pada awalnya dilaporkan hilang.
Namun, dengan jalan raya yang musnah dan komunikasi telefon bimbit tersekat, pasukan penyelamat mengambil masa beberapa hari untuk menyemak senarai tersebut.
Kerajaan tempatan kini menyenaraikan 68 orang sebagai hilang, termasuk 44 warga India dan 22 warga Nepal. Sembilan orang askar turut berada dalam senarai tersebut.
Pakar perubahan iklim memberi amaran, bencana tersebut merupakan amaran terhadap kesan pemanasan global. – AFP


