Oleh Normazlina M.D
Gambar Daniel Lim
KUALA BELAIT, 27 Ogos – Bagi memeriahkan lagi suasana Kuala Belaitku Ceria (KBku Ceria), Syarikat RYS Entertainment telah mengadakan acara larian, ‘We Run KB’ yang disertai hampir 700 peserta di kawasan Taman Persiaran Kuala Belait, pagi tadi.
Pelancaran larian yang mengetengahkan tiga kategori iaitu Kategori 10km, 5km dan 3km itu telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengerusi Lembaga Bandaran KB dan Seria, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad.
Acara ‘We Run KB’ itu merupakan acara utama KBku Ceria anjuran bersama dengan sokongan Lembaga Bandaran KB dan Seria yang bertujuan untuk memupuk semangat hidup bermasyarakat dan mempromosikan cara hidup sihat.
Selepas berakhirnya larian itu, hadiah-hadiah kepada para pemenang larian bagi Kategori 5km dan 10km telah disampaikan oleh tetamu kehormat bersama Pengarah Urusan Syarikat RYS Entertainment, Ampuan Yusof bin Haji Kula dan juga Pengurus Pembangunan Perniagaan RYS Entertainment, Foo Kian Ming.
Pemenang bagi larian 10km lelaki, di tempat pertama disandang oleh Sefli Ahar dengan catatan masa 33m 27s, sementara di tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh David Patton (33m 33s) dan Awang Mohd Norisman bin Ismail (34m 32s).
Manakala, pemenang bagi larian 10km perempuan, di tempat pertama disandang oleh Rachel Scott (43m 38s), di tempat kedua dan ketiga ialah Airice Liam (43m 38s) dan Vanessa Lobb (44m 29s).
Manakala juara bagi larian 5km lelaki dan perempuan disandang oleh Awang Sahminan bin Haji Mohd Salleh dengan catatan masa 23m 31s dan Leong Sheo Yee (26m 47s).
Di tempat kedua disandang oleh Lau Soon Hau dengan masa 23m 42s dan Vanessa Gomez (28m 52s), manakala, Awang Muhd Hafiz bin Haji Hamzulani (24m 19s) dan Samantha Lee (30m 53s), masing-masing di tempat ketiga.