Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 8 juta pokok bakau ditanam sejak 2007

    KUCHING, 26 JULAI – Hampir 8 juta pokok bakau telah ditanam di hutan paya laut seluruh negara sejak 2007 sehingga kini.

    Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata inisiatif di bawah Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara itu melibatkan peruntukan sebanyak RM70.1 juta.

    Beliau berkata peruntukan tersebut turut merangkumi aktiviti penyelenggaraan pokok, penyelidikan, pembangunan, pemantauan serta kesedaran awam.

    “Program ini memberi fokus pada aktiviti penanaman pokok di kawasan pesisir pantai negara dan hutan paya laut yang berisiko berlakunya bencana alam dan terdedah kepada hakisan.

    “Sehingga kini, seluas 3,461.64 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah ditanam dengan sejumlah 7.95 juta pokok di bawah program ini,” katanya semasa berucap di majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

    Sementara itu, Nik Nazmi berkata Malaysia terus komited dalam memelihara dan memulihara kawasan berhutan yang masih terdapat di seluruh negara serta beriltizam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

    Dalam pada itu, beliau berkata sehingga 15 Julai tahun ini, Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah merekodkan penanaman sebanyak 91.16 juta pokok merangkumi 1,849 spesies di seluruh negara. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda