KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mengumpulkan 788 sampel urin dan 32 sampel darah daripada atlet, selepas ia melabuhkan tirainya hari ini dalam pertandingan yang berlangsung 17 hari.
Ketua jawatankuasa itu, Datuk Dr S.S. Cheema berkata kesemua sampel itu akan dihantar segera sebaik selesai acara yang dipertandingkan ke makmal Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) di New Delhi, India, yang kosnya lebih murah berbanding makmal di Bangkok, Thailand.
“Kami boleh dapat keputusan dengan segera dalam tempoh 48 jam selepas sampel dihantar ke makmal di India, tetapi kami harus menunggu laporan rasmi sekurang-kurangnya 10 hari.
“Laporan penuh yang saya dapat daripada makmal, kemudian akan dibentangkan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dalam mesyuarat majlis akan datang,” katanya kepada Bernama di sini.
Dr Cheema yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Doping Majlis Olimpik Malaysia berkata bilangan sampel urin dan darah yang diambil pada KL2017 lebih tinggi memandangkan jumlah sukan dan acara yang dipertandingkan sedikit meningkat berbanding edisi 2015 di Singapura iaitu lebih 600 sampel urin diambil daripada atlet.
Malaysia menganjurkan 38 sukan dan 404 acara berbanding 36 sukan dan 402 acara pada Sukan SEA di Singapura dua tahun lepas.
“Saya cukup berpuas hati kerana semua pihak termasuk atlet dan juga pegawai memberi kerjasama penuh apabila kita melakukan ujian urin dan juga pemeriksaan darah semasa KL2017,” kata Dr Cheema yang juga ahli Jawatankuasa Perubatan dan Doping SEAGF sejak 2007.
Beliau juga mendedahkan 150 pasukan petugas termasuk 79 kawalan anti-doping daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan 50 sukarelawan terlibat dalam mengumpul sampel urin dan darah daripada atlet pada temasya dwitahunan itu. – Bernama