Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Sebanyak 1,271 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 kelmarin, ini bermakna di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, seramai 403, 675 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 93.9 peratus daripada juml ah penduduk negara.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu dalam sidang media harian COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurutnya, jumlah yang telah melengkapkan dua dos vaksin pula seramai 348,775 orang iaitu 81.1 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Sehubungan itu, kini Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 752,450 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.
Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi berbanding dengan daerah-daerah lain iaitu sebanyak 482,218 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 101,861 jumlah pemberian.
Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 87,280 jumlah pemberian, dan Daerah Temburong sebanyak 81,091 jumlah pemberian, tambah Yang Berhormat Dato.
