Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir separuh spesies karang terancam

    PARIS, 13 NOV – Hampir separuh daripada spesies terumbu karang air suam kini diancam kepupusan – dengan perubahan iklim menjadi punca utama, menurut laporan baharu, hari ini.

    Penilaian risiko terkini oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) telah diumumkan pada Sidang Kemuncak Iklim COP29 di Azerbaijan, yang mana beberapa pemimpin negara pencemaran utama tidak hadir.

    Lautan telah menyerap kira-kira 90 peratus lebihan haba dalam atmosfera akibat pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau lain.

    Peningkatan suhu laut telah mendorong kejadian pemutihan terumbu karang secara besar-besaran di seluruh dunia, mengancam ekosistem penting bagi hidupan marin serta sumber pendapatan masyarakat yang bergantung kepadanya.

    Penilaian terkini dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN memberikan tumpuan kepada spesies karang yang membina terumbu di perairan tropika cetek.

    Hasil analisis mendapati bahawa 892 spesies karang pembina terumbu kini dikategorikan sebagai terancam, mewakili 44 peratus daripada jumlah keseluruhan. Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding penilaian terakhir pada 2008, di mana sepertiga daripada spesies disenaraikan sebagai terancam.

    IUCN masih dalam proses menilai risiko kepupusan karang air sejuk yang hidup di perairan laut dalam yang lebih gelap, menjadikannya lebih sukar untuk dikaji. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda