Pernah cuba berpuasa ketika mula bertapak di industri muzik Malaysia, penyanyi Han Byul mengakui ia satu pengalaman yang indah namun bukan mudah.
Memahami norma hidup masyarakat berbilang agama di negara ini, Han Byul, 31, berkata dia menghormati rakan-rakan Muslim yang sedang berpuasa dengan mengelakkan diri daripada makan dan minum di hadapan mereka.
“Sebelum ini saya pernah cuba berpuasa untuk sebuah program di televisyen.
“Ia bukan satu yang mudah kerana perlu menahan lapar dan dahaga pada siang hari. Saya rasakan sangat susah.
“Tahun ini tidak ada perancangan untuk berpuasa, namun saya amat memahami rakan-rakan yang menjalani ibadah puasa dan tidak akan makan atau minum di depan mereka,” katanya.
Bukan hanya memahami budaya dan cara hidup masyarakat di Malaysia, juara Big Stage musim kedua ini juga dilihat semakin fasih bercakap dalam Bahasa Melayu.
Selain mengikuti kelas pembelajaran sejak lima bulan lalu, Han Byul juga akan cuba untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam percakapan harian supaya menjadi lancar.
“Saya masih belum fasih dan sebab itu saya bersunguh-sunguh cuba belajar Bahasa Melayu sejak lima bulan lalu.
“Kalau terus menggunakan Bahasa Inggeris dalam pertuturan harian mungkin lambat untuk saya kuasai Bahasa Melayu. Jadi eloklah saya praktis berbahasa Melayu setiap hari,” jelasnya.
Dalam masa sama, Han Byul yang berasal dari Korea Selatan memberitahu semakin selesa untuk meneruskan kerjaya seninya di Malaysia.
“Saya sudah menjalani banyak penggambaran program televisyen tempatan. Sekarang lebih selesa untuk teruskan kerjaya di sini. Saya amat berbesar hati kerana diterima baik dalam industri seni Malaysia,” jelasnya. – Agensi