Oleh Na’ila Azmi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kejohanan Paintball Persatuan Paintball Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PANTAS) 2018 yang diadakan hari ini mempertandingkan dua kategori perlawanan iaitu ‘Super Hero 1 vs 1’ dan ‘Double Trouble 2 vs 2’ yang telah berlangsung di Paintball Arena Jerudong.
Bagi Kategori ‘Super Hero 1 vs 1’, Mohamad Hanafie bin Haji Hussain muncul johan sementara johan bagi Kategori ‘Double Trouble 2 vs 2’ pula diraih oleh Pasukan Ignite Revo. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh mantan Setiausaha Agung PANTAS, Haji Mohammad Azeim Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh.
Kejohanan dibukakan kepada semua pemain paintball di Negara Brunei Darussalam yang mana ‘Super Hero 1 vs 1’ bertujuan untuk menguji tahap kemahiran individu, keyakinan, kepantasan, ketepatan dalam menanda pihak lawan dan kecekapan bergerak secara solo.
Manakala ‘Double Trouble 2 vs 2’ hanya mempertandingkan dua pemain dari setiap pasukan yang bertujuan untuk menguji tahap kemahiran berkomunikasi, merancang taktik, strategi dan pergerakan secara berpasangan.