BEIJING – Tempahan bagi pakaian tradisional melonjak di platform e-dagang, pakaian tradisional China yang berkualiti semakin popular di dalam dan luar negara, mencetuskan peningkatan pesanan pada platform e-dagang.
Satu bandar yang mendapat manfaat dari fenomena itu ialah Daiji di daerah Caoxian, wilayah Shandong, di mana pelanggan semakin mencari untuk membeli hanfu, pakaian China yang telah lama wujud.
Setiausaha Parti Daiji, Li Tao, berkata pesanan yang dibuat dalam talian telah mendorong pertumbuhan industri pakaian bandar tersebut.
Pengunjung yang berjalan-jalan di sepanjang jalan utama di Daiji akan menjumpai rangkaian kedai yang terlibat dalam perniagaan pakaian, merangkumi pengeluaran kain dan cetakan corak hinggalah ke kedai pakaian. Pekerja dapat dilihat sedang membungkus pesanan untuk penghantaran.
Pada penghujung bulan lepas, di taman perindustrian e-dagang di bandar itu, seorang wanita muda menggunakan platform penstriman langsung untuk mempromosikan pakaian hanfu yang mengandungi set yunjian, sejenis hiasan pakaian popular yang dibuat mengikut gaya Dinasti Ming ( 1368-1644).





Zheng Tao, Pengarah Qianwei Hantang Apparel Co, yang terletak di taman perindustrian itu, berkata, “Barang-barang indah ini menarik perhatian ramai pembeli, dan mereka menjual seperti kek panas.”
Dalam tempoh enam minggu yang lalu, syarikat itu telah menjual lebih daripada 7,000 set pakaian hanfu yang dipromosikan oleh Zheng.
“Kami telah melihat pertumbuhan yang besar dalam jualan hanfu pada separuh pertama tahun ini,” kata Zheng. “Dalam dua bulan lalu sahaja, jualan ini telah mencecah 10 juta yuan (AS$1.37 juta), peningkatan sepuluh kali ganda tahun ke tahun.”
Zheng bukanlah satu-satunya yang menikmati ledakan jualan itu. Pada separuh pertama tahun ini, jumlah jualan hanfu di bandar yang dijual melalui platform e-dagang mencecah 2.5 bilion yuan, kata Li, setiausaha Parti tempatan.
“Ramai pengeluar hanfu di bandar ini bekerja lebih masa untuk memenuhi pesanan mereka,” tambah Li.
Transformasi kualiti
Pakaian persembahan telah dihasilkan di Daiji selama lebih tiga dekad.
Pada tahun 2009, dengan platform e-dagang yang semakin popular, industri pakaian persembahan di bandar itu berkembang pesat, dengan hampir setiap isi rumah membuka kedai dalam talian.
Penduduk tempatan mengatakan bahawa apabila gadis kampung di Daiji berkahwin, ibu bapa mereka secara tradisinya membeli barang perhiasan emas dan perak untuk mas kahwin mereka. Tetapi kini, barangan emas dan perak itu telah digantikan dengan kedai dalam talian.
Dipromosikan oleh platform e-dagang, jualan pakaian persembahan di Caoxian, yang kebanyakannya dihasilkan di Daiji, melebihi 6 bilion yuan pada 2019, menyumbang 70 peratus daripada jualan pakaian sedemikian yang dibeli di platform ini.
Perniagaan pakaian persembahan telah berkembang maju. Kini terdapat 2,186 perusahaan sedemikian di daerah itu, menggaji lebih 100,000 orang daripada populasi sekitar 1.37 juta.
Pemain pasaran itu telah mengembangkan rangkaian industri lengkap yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk dan pengeluaran, perlindungan hak cipta, pemotongan dan pencetakan, percetakan sulaman, aksesori, pameran, pemasaran rangkaian, logistik dan perkhidmatan selepas jualan.
Bagaimanapun, pada tahun 2020, banyak pakaian bertimbun di kilang-kilang apabila persembahan dibatalkan kerana langkah pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19, memaksa banyak pembuat pakaian sedemikian untuk menghasilkan hanfu.
Mereka yang menjalankan perniagaan hanfu di Daiji memberi tumpuan kepada pakaian mampu milik, dengan harga antara 100 yuan hingga 500 yuan.
Menggunakan pembangunan jangka panjang industri e-dagang dan rangkaian industri yang maju untuk pakaian, pemilik perniagaan di Daiji dengan pantas memperkenalkan sekumpulan pakaian hanfu mampu milik berharga kira-kira 100 yuan pada platform e-dagang utama.
Pakaian itu bukan sahaja menarik minat ramai anak muda, malah turut mendatangkan banyak tempahan dari seluruh negara.
Meng Xiaoxia, pengarah pusat reka bentuk asal Caoxian untuk hanfu di Daiji, berkata, “Rantaian lengkap industri hanfu membolehkan kami mengurangkan kos, supaya hanfu yang dihasilkan di bandar kami adalah terjangkau.”
Pengeluar Hanfu di Daiji memberi tumpuan kepada reka bentuk asal dalam usaha untuk mendapatkan bahagian pasaran yang meningkat.
Di pusat Meng, skirt muka kuda yang diperbuat daripada bahan berbeza yang menampilkan reka bentuk bersulam laris dijual.
Skirt berlipat berwarna-warni itu, yang berasal dari Dinasti Song (960-1279), dipakai oleh selebriti dan ikon fesyen.
“Kami telah melihat pertumbuhan yang mengagumkan dalam jualan skirt muka kuda pada separuh pertama tahun ini,” kata Meng, yang belajar untuk ijazah sarjana muda seni. – ANN/China Daily

