Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hannah ‘cabar’ Hakim Danish gegar GP Malaysia 2025

    SEPANG, 15 OKT – Penampilan sulung pelumba muda berbakat Malaysia, Muhammad Hakim Danish Ramli dalam saingan Moto3 pada Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sahaja dinanti peminat sukan permotoran di Malaysia, malah turut mengujakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

    Hannah berkata, beliau bukan sahaja mahu menyaksikan aksi tunggangan Hakim Danish, tetapi berharap pelumba berasal dari Terengganu itu mampu menggegarkan SIC dengan meraih kejuaraan Moto3 GP Malaysia 2025 yang dijadualkan untuk berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.

    Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada pelumba berusia 18 tahun itu yang akan beraksi atas tiket wildcard dengan segera mendapatkan tiket yang masih dijual.

    “Kami menyeru semua rakyat Malaysia supaya membeli tiket dan hadir memberi sokongan kepada MotoGP. Selalunya ramai mahu kami bawa acara bertaraf antarabangsa ke sini, tetapi apabila dianjurkan, sambutannya kurang menggalakkan.

    “Jadi, kali ini marilah kita turun beramai-ramai menyokong Hakim Danish, bukan selalu kita berpeluang melihat pelumba tempatan beraksi di pentas dunia,” katanya pada sidang media pelancaran pasukan dan jentera AEON Credit SIC Racing MSI yang diwakili Hakim Danish, hari ini.

    Muhammad Hakim Danish Ramli semasa ditemu bual media selepas Pelancaran Projek Basikal UMA Racing x Hakim Danish di Ibu Pejabat Kumpulan MKA di Puchong, Malaysia pada 6 Ogos. – Bernama

    Mentor kepada Hakim Danish, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, masih memegang rekod sebagai pelumba negara terbaik dalam sejarah Moto3 di SIC apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada musim 2012.

    Hannah berkata, penyertaan Hakim Danish mencerminkan keyakinan Malaysia terhadap potensi besar yang boleh dicapai apabila kerajaan, sektor swasta dan komuniti sukan permotoran berganding bahu.

    Sementara itu, Pengerusi AEON, Credit Ng Eng Kiat berkata, pihaknya berbangga menyalurkan sumbangan RM1 juta bagi menyokong penampilan sulung Hakim Danish dalam kelas Moto3.

    Beliau berkata, sumbangan itu turut menandakan langkah pertama AEON Credit menceburi dunia sukan permotoran, sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat terhadap pembangunan belia, komuniti dan bakat tempatan.

    Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif, pula berkata penyertaan Hakim Danish di GP Malaysia 2025 bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi juga hasil kerjasama seluruh pasukan teknikal, mekanik serta rakan kongsi seperti AEON Credit yang percaya kepada program pembangunan bakat SIC. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda