Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hannah gesa atlet elak jalan singkat ‘kejar’ kejayaan

    KUALA LUMPUR, 22 DIS – Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh mengingatkan semua atlet Malaysia tanpa mengira jenis sukan agar tidak mengambil jalan singkat untuk mendapatkan duit dan kekayaan dengan terlibat dalam salah laku seperti rasuah mahupun mengatur perlawanan.

    Beliau berkata kemenangan dalam sukan harus dicapai dengan bermaruah dan integriti agar kejayaan yang dikecapi dapat dibanggakan dan dihormati.

    “Kita selalu amalkan Kod Sukan Selamat jadi saya berharap perkara (berlaku baru-baru ini) sebagai pengajaran. Saya minta atlet kita jangan terpengaruh perkara seperti ini dan jangan ambil jalan singkat dapatkan duit untuk cepat kaya.

    “… dan untuk KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kita memang sudah berbincang bermula tahun lepas dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk melihat bagaimana kita nak pastikan bukan sahaja badminton tetapi semua sukan bebas daripada rasuah dan mengatur perlawanan,” katanya.

    Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Liga Bolasepak Wanita Nasional (LWN) 2024 di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur, semalam.

    Pada Jumaat lepas, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menggantung bekas pemain perseorangan lelaki Liew Daren dan penganalisis Institut Sukan Negara (ISN) Jerry Gan, masing-masing selama 12 dan tiga bulan selepas mereka didapati terbabit dalam kegiatan pertaruhan.

    BWF mengesahkan Daren terbabit dalam aktiviti pertaruhan dari 2018 hingga 2021 dan berusaha menghalang siasatan dengan menyembunyikan maklumat. – Bernama

    Hannah Yeoh berkata kemenangan dalam sukan harus dicapai dengan bermaruah dan integriti agar kejayaan yang dikecapi dapat dibanggakan dan dihormati. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda