Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hannah harap Zii Jia sertai Program RTG LA28

    PETALING JAYA, 3 JUN – Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh, menyuarakan harapan supaya pemain perseorangan lelaki profesional Malaysia, Lee Zii Jia, akan menerima tawaran menyertai Program Road to Gold (RTG) dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).

    Hannah berkata beliau telah bertemu dengan pemenang pingat gangsa di Paris 2024 itu pada minggu lepas untuk berbincang mengenai manfaat inisiatif RTG, terutamanya dalam sokongan yang diperluas kepada atlet bebas.

    “Kami berharap dapat menawarkan perkhidmatan RTG kepada Zii Jia. Saya harap beliau akan bersetuju kerana tiada sebarang kerugian.

    “Keputusan akhir di tangan Zii Jia dan saya yakin beliau akan mempertimbangkan semua faktor,” katanya kepada pemberita pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin 2025 hari ini.

    Pada April lepas, Jawatankuasa RTG menamakan Zii Jia dan juara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Asia Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama 10 lagi pemain badminton bagi program RTG menjelang LA28.

    Zii Jia, yang kini pemain nombor lapan dunia sebelum ini menolak tawaran menyertai program RTG bagi kitaran Paris 2024.

    Tiga atlet bukan badminton yang tersenarai dalam RTG kitaran LA28 ialah pelumba berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 4 Ogos 2024 menunjukkan Zii Jia semasa beraksi dalam perlawanan badminton, di Arena Porte De La Chapelle. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda