Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hannah minta beri ruang FAM selesai proses rayuan

    KUALA LUMPUR, 8 OKT – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan proses rayuan berhubung hukuman yang dikenakan ke atas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sebelum mengambil langkah menubuhkan sebarang suruhanjaya siasatan.

    Beliau berkata, penubuhan suruhanjaya khas ketika ini dianggap terlalu awal kerana kes berkenaan masih dalam proses rayuan di peringkat badan induk bola sepak dunia itu.

    “Biar FAM lengkapkan dulu rayuan. Kalau rayuan pun belum selesai, kita dah mula buat siasatan atau tubuhkan suruhanjaya itu ibarat ‘bertindak sebelum masanya’.

    Terdahulu, FIFA mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.

    Menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

    Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terlibat mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan. – Bernama

    Hannah Yeoh ketika ditemu bual pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kem Final Klinik STL 2025 di Stadium Raja Muda Kuala Lumpur pada 6 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda