SEPANG, 18 JUN – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang menghadiahkan kilauan emas berganda pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai.
Hannah berkata beliau akan memastikan mesyuarat dengan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) esok, akan membincangkan aspek keperluan yang diperlukan Mohd Azizulhasni untuk memastikan kejayaannya terus dapat dicapai, di peringkat antarabangsa.
“Saya ucap tahniah kepada Azizulhasni menang emas dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kejayaan di ACC) dan esok semasa mesyuarat RTG kita lihat bagaimana boleh tingkatkan lagi sokongan buat kedua-dua atlet itu,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman merangkul gelaran keirin lelaki dengan mengetepikan cabaran getir tiga pelumba Jepun, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan beliau mencipta legasi sendiri untuk meraih pingat emas ke-12 di ACC, selain menamatkan penantian lapan tahun untuk kembali bergelar ‘Raja Keirin Asia’, selepas edisi 2015 di Nakhon Ratchasima, Thailand. – Bernama


