HANOI, 6 MAC – Ibu kota Vietnam, Hanoi diselubungi oleh pencemaran jerebu tebal kelmarin yang mengaburi bangunan-bangunan tinggi dan menyebabkan hampir sembilan juta penduduk bandar itu menghirup udara beracun.
Bandar tersebut menduduki tangga teratas laman web pemantauan udara, IQAir sebagai bandar paling tercemar di dunia pada awal petang kelmarin.
Tahap pencemar PM2.5 – partikel mikro penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah melalui paru-paru – diklasifikasikan sebagai ‘sangat tidak sihat’ dan mencecah lebih daripada 24 kali garis panduan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Hanoi sering disenaraikan di antara bandar paling tercemar di dunia, sebahagiannya disebabkan oleh pembinaan yang meluas dan pelepasan daripada sejumlah besar motosikal dan kereta yang merentasi ibu negara setiap hari.
Pelepasan karbon dari loji arang batu dan pembakaran pertanian memburukkan lagi masalah ini.
“Saya terpaksa memakai topeng setiap kali saya keluar sejak beberapa hari lalu kerana kualiti udara sangat teruk,” kata pekerja pejabat, Nguyen Minh Huong.
“Sukar untuk bernafas. Saya bersin sepanjang masa, jadi saya terpaksa mengehadkan masa saya di luar,” tambahnya. – AFP
